MTIAA - INFORMASI

Maklumat Rasmi berkaitan MTIAA. Laman ini hanyalah sekadar memberikan maklumat ringkas. Hubungi MTIAA untuk maklumat lanjut.

BRIGED AMAL MALAYSIA

Tahniah diucapkan kepada Rumah Kuning kerana menjuarai pasukan terbaik sempena Perkhemahan  Tahunan Briged AMAL MTIAA

Jabatan Amal Malaysia atau pernah dikenali sebagai “Unit Amal” merupakan salah satu jabatan di bawah Dewan Pemuda PAS Malaysia. Jabatan Amal ini berfungsi sebagai sebuah pasukan kebajikan sukarela beruniform yang dianggotai oleh pemuda dan ahli Parti Islam Se-Malaysia. Penubuhan Unit Amal adalah selaras dengan keperluan dan kehendak anak muda masa kini yang sentiasa ingin melibatkan diri dalam masayarakat dalam aktiviti-aktiviti kesukarelawan dan kebajikan.

Penubuhan jabatan ini bermula pada tahun 1991. Ianya dicetuskan melalui sebuah panduan kertas kerja induk Lujnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Dewan Pemuda PAS (DPP) Pusat sesi 1989/91. Ia kemudiannya disahkan oleh mesyuarat Jawatankuasa Kerja DPP Pusat kali ke-4 pada 1 Julai 1989 dengan digerakkan oleh satu unit penajaan seramai 12 orang dari Terengganu yang mempunyai pelbagai pengalaman pasukan sukarelawan beruniform. Majlis pelancaran Unit Amal (Kebajikan dan Rekreasi) telah diadakan pada 14 hingga 16 Februari 1991 bertempat di Pantai Tok Jembal, Kuala Terengganu[1]. Pelancaran tersebut telah disempurnakan oleh Tuan Guru Haji Harun Taib, Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu pada masa itu merangkap Ahli Majlis Syura Ulamak PAS. Jambori pertama kali ini telah berjaya mengumpulkan penyertaan seramai 851 anggota dari seluruh negeri. Bermula Februari 2006, Unit Amal telah dianugerahkan pakaian rasmi baru berwarna merah terang. Majlis penyampaian penganugerahan pakaian rasmi ini telah disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan ketika itu, YAB Dato’ Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat di Perdana Resort, Kota Bharu, Kelantan Unit Amal Malaysia telah dinaik taraf kepada Jabatan Amal Malaysia pada tahun 2007 dan menggunakan logo yang baru.
Jabatan Amal Malaysia terlibat dalam khidmat masyarakat seperti membantu mangsa kebakaran, banjir besar dan sebagainya. Jolokan “Semut Merah”[2] telah diberikan kepada mereka ketika rakyat Johor ditimpa musibah banjir besar beberapa tahun lepas, Unit Amal turun membantu dan menjalankan tugas-tugas penyelamat. Bencana Banjir besar yang melibatkan beberapa negeri di Pantai Timur baru-baru ini telah menyebabkan ramai penduduk yang terputus bekalan makanan, hilang tempat tinggal dan juga tiada keperluan asas untuk hidup Sekali lagi Unit Amal diberi kepercayaan oleh Masyarakat dan pelbagai NGO[3] untuk turun dan bantu mangsa-mangsa banjir. Bantuan yang disalurkan oleh badan-badan NGO, melalui bantuan Unit Amal ini melibatkan pengagihan makanan, minuman dan juga pakaian kepada penduduk setempat. Selain itu, Unit Amal juga terlibat membantu penduduk di semua tempat yang mengalami bencana ribut dengan membantu penduduk membaiki dan membina rumah-rumah mangsa akibat dilanda banjir, hujan yang lebat berserta angin yang kuat. Kerja-kerja khidmat masyarakat lain seperti gotong royong bersama masyarakat setempat juga antara objektif awal penubuhan Unit Amal ini.[4] Selain itu Unit Amal juga seringkali dilihat bertugas menjaga lalulintas jalan raya semasa ceramah, muktamar PAS atau perhimpunan diadakan. Dengan pakaian rasmi mereka t-shirt dengan beret berwarna merah hati / maroon mereka kelihatan segak bertugas dalam memastikan keselamatan ahli-ahli PAS atau peserta himpunan dari mereka yang cuba mencetuskan rusuhan dan keganasan. Unit Amal menjadi harapan sebagai benteng keselamatan peserta himpunan dari sebarang keganasan dan provokasi.